Thursday, 9 January 2014

Jalan Cari Makan di Kuantan - 03.09.13

Datang Kuantan ada kerja sambil mengimbas kenangan lalu. Aku pernah duduk Kuantan masa mula kerja dekat 2 tahun setengah. Dalam tempoh tu, banyak kedai makan yang aku dah cuba tapi sekarang dah tak berniaga lagi. Untuk trip kali ni aku sempat singgah beberapa kedai makan yang aku nak sangat recommend kat korang.
 
(1)  Sara Thai Kitchen, Kuantan

Restoran ni terletak di Jalan Teluk Sisek berhampiran simpang empat nak pergi ke Tanjung Lumpur.  Betul-betul di selekoh jalan deretan bangunan kedai, restoran ni terletak di hujung sekali. Dapur dan tandas restoran ni pun sangat bersih. Kalau korang nak pegi tandas mesti lalu dapur dulu, korang boleh nampak betapa tersusunnya bahan masakan restoran ni. Aku dah makan kat restoran ni sejak tahun 2005 lagi. Sampai sekarang, kalau pergi Kuantan, aku mesti singgah untuk lunch atau dinner kat sini.
 
Di restoran ni memang orang melayu thai sendiri masak, barang mentah dan rempah ratus dibawa dari Thailand. Aku rasa betul, sebab masakan restoran ni sangat sempurna dari segi rasa, warna dan garnishing. Masakan yang sedap aku pernah cuba di restoran ni antaranya kari hijau ayam, tomyam seafood, daging lada hitam, ikan kerapu goreng letak kerabu mangga dan seafood (ikan, udang, sotong) goreng tepung dalam satu pinggan yang sama. Sos pencicah pun sedap.

 
Phad thai udang

 
Kueyteow ladna

Kali ni, aku makan phad thai udang. Minos makan kueyteow ladna. Phad thai ni macam kueyteow tapi versi kurang lebar digoreng dengan cili, daun bawang, udang, telur dan kacang tanah tanpa kicap. Di tepi pinggan diletakkan serbuk cili dan kacang tanah yang telah ditumbuk. Phad thai yang paling sedap aku pernah makan setakat ni. Aku galakkan korang untuk cuba air sirap hijau bila dah rasa kepedasan tu. Sedap wooo...

Sirap hijau


(2)  Akob Patin House, Kuantan


Restoran ni terletak di Jalan Besar betul-betul belakang Bangunan KWSP dan tepi Sungai Kuantan. Specialty kat sini haruslah ikan patin masak tempoyak. Ada  2 jenis ikan patin dijual kat sini iaitu patin biasa dan patin buah. Patin biasa harganya RM10 seketul dan patin buah RM20 seketul. Aku dah cuba kedua-dua jenis patin, tapi aku tak reti nak bezakan. Rasa macam sama je, cuma patin buah lebih kental isi dia.


 Patin biasa

Di kedai ni banyak masakan kampung lain korang boleh cuba. Kalau korang tak suka makan ikan patin masak tempoyak, korang boleh cuba ikan patin, ikan talapia dan pelbagai jenis ikan air tawar yang digoreng panas-panas. Korang kena makan dengan sambal belacan atau sambal tempoyak, boleh juling biji mata sebab sedap sangat.


 Puding raja

Untuk dessert aku cadangkan korang cuba puding raja sebekas RM5. Aku dah bertahun-tahun tak makan puding ni lepas pindah KL, tak sangka terjumpa puding ni kat sini. Antara bahan utama dalam puding ni ialah pisang lemak manis, jala emas dibuat daripada telur, kismis, gajus dan ceri dimakan dengan kuah custard.


(3)  Burger Burgermbira, Teluk Cempedak



Kedai burger ni terletak dalam sebuah restoran bertentangan tempat parking kereta Teluk Cempedak. Ada 3 cawangan di sekitar Kuantan. Burger bertingkat-tingkat pada harga yang sangat berpatutan. Ada lebih 10 jenis menu burger korang boleh pilih berdasarkan berapa tingkat korang nak, nak letak nenas, telur, cheese dan macam-macam lagi.

Burger ni bukan burger bakar. Burger yang digunakan adalah burger biasa, maybe Ramly kot. Range harga antara RM2.50 hingga RM6.00 kalau tak silap aku. Ni la masalahnya bila malas ambik gambar langsung dah tak ingat. Silalah cuba, memang terbaik dari ladang. Korang cuba order teh tarik dalam restoran tu, lazat berkrim. Tak tipu.
 
- lynn's food adventures -



 

Kembara Makan Sedap di Perlis - 26.08.13

Aku pergi Kangar, Perlis atas urusan kerja selama 5 hari. Sanggup ni bawak kereta dari KL sampai Kangar. Padahal boleh je naik flight. Gila jauh sanggup drive sebab nak explore food kat sana. Aku sanggup minta cuti sehari sebab nak pergi awal sikit.

(1)  Mona Ikan Bakar, Kuala Perlis

Selama 5 hari 4 malam kat Perlis, aku sempat makan kat kedai ni 2 kali. Lokasi kedai ni di medan selera berhadapan dengan Hotel Putra Brasmana.  Medan selera ni bersebelahan jeti Kuala Perlis-Langkawi. Aku pergi dinner pukul 6.00 petang macam tu. Tak berani nak pergi malam betul, takut sesat time nak balik semula ke hotel di Kangar. Dari Kangar ke Kuala Perlis dalam 15 minit. Aku ada cuba makan kat kedai lain dalam medan selera tu walaupun ada orang recommend, tapi yang paling sedap pada pandangan aku memang Mona Ikan Bakar. Disebabkan aku makan sorang tak boleh la nak tamak. Aku order ketam masak rempah, sotong goreng tepung dan kerang bakar.
 

Sotong goreng tepung, ketam masak rempah, kerang bakar

 
Aku pilih ketam betina 2 ekor. Cara nak kenal ketam betina ialah pastikan kat belakang dia ada telur. Pilih ketam betina sebab banyak isi. Selalu kalau kat KL, ketam mesti suruh masak sambal je. First time jumpa kat Kuala Perlis boleh buat ketam masak rempah. Aku terus order la. Ketam masak rempah ni sama macam ketam masak kari pekat.

Aku ambil sotong saiz sederhana 3 ekor. Sotong goreng tepung paling sedap aku pernah makan kat Restoran Wak Lan/Bayu Malam, Bagan Lalang dengan kat kedai ni la. Memang cukup sifat rasa sotong goreng tepung tu. Aku paling tak suka ada sesetengah kedai yang sotong goreng tepung dah jadi cekodok sotong. Tepung semata-mata, sampai cari sotong pun tak jumpa. Kedai ni punya memang terbaik.

Kerang bakar aku ambik 500g. Kerang dia besar-besar. Aku nak sangat cuba ikan bakar, tapi mana mampu nak makan sorang. Stress je tengok pelanggan lain dok order ikan bakar kat kedai ni. Kedai makan di Kuala Perlis ni, mereka akan bagi siap-siap sambal belacan, air asam dan sos pencicah berserta ulam seperti timun, kacang panjang dan rebung kepada pelanggan. Untuk semua yang aku order tu kena RM40.
 
(2)  Kedai No. 9, Medan Selera Padang Besar

Aku pergi Langkawi naik feri pukul 9.30 pagi. Naik feri balik semula ke Kuala Perlis pukul 3.00 petang. Menggila la kat Langkawi nak shopping dalam masa 4 jam. Lepas tu beli barang macam nak patah tangan. Lalu kat kastam ketar lutut takut kena tax. Selamat tak kena. Dalam feri nak balik, perut dah lapar, tak sempat nak makan kat Langkawi. Aku terus dapat idea nak makan kat Padang Besar. Tapi terfikir jugak, takut sampai sana, kedai dah tutup. Aku sampai Padang Besar pukul 5.30 petang, 40 minit perjalanan dari Kuala Perlis. Kedai masih buka, tapi pelanggan aku sorang je. Aku rasa kedai tutup pukul 7.00 malam kot.

 
 Ramai orang masa hari raya ketiga 2013

Aku terus tuju kedai ni sebab dah selalu makan kat sini kalau balik kampung. Kitaorang kalau balik kampung mesti akan datang shopping kat Padang Besar. Antara makanan yang sedap aku pernah cuba kat kedai ni ialah pulut mangga dengan santan, pulut ayam, laksa siam, sup perut babat dan somtam (kerabu betik). Harga antara RM4 ke RM7 untuk satu hidangan.

 
    Pulut mangga


   Kerabu mangga


 
Sup perut panjang (tembusu)


Hari ni, aku makan sup perut panjang dengan kerabu mangga. Sebab dah lapar sangat, tak boleh nak order macam-macam, nanti lambat sampai. Aku seperti biasa mesti tambah nasi 2 kali. Pedas terangkat. Memang orang siam sendiri yang masak dan rasa memang authentic. Mangga yang digunakan sangat crunchy. Portion makanan pun sesuai untuk makan 2 orang walaupun aku pentamak makan sorang je. Kedai makan ni bersih dan kemas. Aku kena bayar RM15.

(3)  Kak Su Laksa, Kuala Perlis

 

Lokasi kedai di Pekan Kuala Perlis. Laksa buatan sendiri, boleh beli urat laksa kalau korang nak balik buat kuah. Laksa sedap dan sangat popular di Kuala Perlis. Kuah laksa smooth dan pekat. Selain itu, ada juga dijual pulut panggang kat kedai ni. Aku bukan la suka sangat pulut panggang ni, tapi pulut panggang kedai ni memang sedap macam yang mak aku selalu buat. Aku rasa orang utara memang suka makan pulut panggang la. Harga sepinggan laksa kalau tak silap aku RM4. Pulut panggang aku tak ingat harga, rasanya antara 40 sen atau 50 sen sebiji.
 
 
 Laksa beras

Sebenarnya banyak lagi kedai makan yang sedap kat Perlis. Aku tak sempat nak pergi. Perangai aku pun satu hal juga. Kalau kedai tu dah kena dengan selera aku, dok ulang pergi kedai tu dan asyik order menu yang sama je. Aku malas nak ambil risiko order makanan lain, takut tak sedap. Nanti menyesal sebab tak tau bila nak datang lagi.

                                     
- lynn's food adventures -










Salam Perkenalan - Aku dan Makanan


 
 
First time tulis blog. Dah lama nak buat blog sendiri ikut theme yang paling aku suka. Makan, makan dan makan lagi. Aku baca blog orang dah bertahun-tahun, berpuluh-puluh blog aku baca, sampai pening. Aku suka makan, tapi tak suka ambil gambar makanan. Sebab bila makanan dah sampai, mana boleh tunggu lagi. Dalam blog ni aku hanya akan recommend kedai makan yang betul-betul aku rasa sedap saja. Yang kurang sedap kat tekak aku, tak payah la susah payah nak tulis blog bagai.
 
Kebiasaannya aku travel sebab bercuti atau pun urusan kerja, aku mesti akan google cari kedai makan yang menarik kat tempat yang aku pergi tu. Aku takkan saja-saja singgah mana-mana kedai makan yang aku nampak. Kedai yang aku cuba mesti hasil dari kajian terperinci yang aku buat masa bosan-bosan kat bilik hotel. Dengan ada waze gps, mencari kedai makan tak la susah sangat. Aku selalu travel atas urusan kerja sorang diri je. Walaupun tempat tu boleh pergi naik flight, aku akan bawa kereta. Dengan ada kereta sendiri baru senang nak bergerak sana sini cari tempat makan yang best.
 
Kadang-kadang disebabkan masa yang limited kat sesuatu tempat tu, aku akan makan back to back. Walaupun dah kenyang tahap gaban, gagahkan jugak makan mengenangkan tak tahu bila nak datang lagi.
 
Serba sikit pasal aku kena bagitau kat korang la kan. Umur aku pertengahan 30-an, bekerja, berkahwin dan ada anak lelaki umur  6 tahun. Anak aku pun suka makan macam aku. Rumah dan office aku kat KL. Aku dengan suami kebetulan ada 5 tahun pengalaman belajar pasal makanan ni masa zaman muda-muda dulu. Tapi, bila kitaorang kerja, tak kerja line tu pun. Dalam blog ni, definitely aku takkan letak muka aku. Segan aku. Aku tulis blog sebab nak bagi info kat korang pasal tempat makan best, bukan pasal aku pun.
 
Dalam blog ni nanti, nama gelaran suami aku ialah Minos dan anak aku Cirap. Kebanyakan gambar mestilah Minos yang ambil. Dia memang suka sangat ambil gambar makanan, simpan untuk kenangan dari dulu lagi. Pelik aku. Nanti aku kena godek PC dia cari gambar-gambar makanan untuk post kat blog ni. Cukup pasal aku.
 
Aku tak berhasrat nak bagitau Minos, keluarga atau kawan-kawan pasal kewujudan blog ni. Kalau korang tak kenal aku, aku rasa lebih bebas nak tulis blog. Kita kan ada tekak dengan perut masing-masing. Mungkin apa yang aku makan sedap, belum tentu bila korang cuba, korang rasa sedap juga. Aku takut korang terjumpa aku, tak pasal-pasal kena pukul sebab bagi review tak betul. 
 
Salam perkenalan semua...
 
 
 
 
- lynn's food adventures -